Model wanita cantik sudah tentu menjadi idaman lelaki normal, tetapi tidak kurang juga yang bernafsu songsang mengejar peragawan tampan sebagai teman sosial.
Pengakuan beberapa model terkenal tempatan yang pernah digoda dan ditawarkan kemewahan segera sepanjang bergiat aktif dalam dunia peragaan ketika ditemui wartawan Metro Ahad, di Kuala Lumpur.
Seorang bekas model sambilan mendakwa ditawarkan penginapan banglo mewah, duit saraan, peluang bercuti ke luar negara dan pemandu peribadi jika sanggup menjadi kekasih gelap seorang kenamaan (VIP).
Gadis yang dikenali sebagai Suzanne, 20-an, berkata, dia mengenali VIP terbabit selepas diperkenalkan seorang pengantara.
Umpan kemewahan, wang ringgit
“Saya pernah ditawar dengan kemewahan, termasuk wang ringgit, untuk menjadi teman sosial,” kata Wafa Johanna de Corte, 19, model kacukan Melayu-Belanda.
Menurut gadis berketinggian 175 sentimeter ini, dunia peragaan tidak ubah seperti selebriti. Ketika berada di kemuncak, ramai ingin mendekati, terutama golongan kaya yang menawarkan ‘sesuatu’ bagi tujuan menjadi teman peribadi.
“Mungkin anggapan individu tertentu, model mudah diperdaya dengan kehidupan mewah, sedangkan tidak semua sedemikian.
“Saya menolak kerana saya membabitkan diri dalam peragaan disebabkan minat. Biar saya naik dengan cara terhormat kerana saya mahu mereka menghormati profesyen ini. Mujur mereka memahami dan tidak mendesak,” katanya gadis kelahiran Damansara ini.
Penuntut Kolej Segi Damansara ini berkata, bidang peragaan baginya adalah persinggahan sementara sebelum mengejar impian menjadi wartawan penyiaran.
“Saya tidak menyangkal segelintir orang mengatakan mereka sanggup ‘mati’ untuk menceburi bidang ini. Anggapan mereka, kehidupan model mewah dan penuh glamor. Boleh pakai busana pereka terkenal dan mengenakan kosmetik berjenama antarabangsa.
“Hakikatnya, kerjaya ini ada turun naiknya. Ada yang boleh pergi jauh, tidak kurang juga bergelar peragawati ‘suam-suam kuku’ kerana persaingan hebat dalam kalangan gadis muda.
“Bagi saya berbeza, kerja ini tidak menjamin untuk masa depan, tetapi saya memilih kerana minat. Malah, dengan hasil pendapatan peragawati ini juga saya membiayai pengajian di kolej,” katanya.
Mendapat sokongan penuh ibu tercinta, Wafa bersyukur tidak menghadapi pengalaman buruk sepanjang pembabitan dalam bidang itu.
“Laluan karier saya dipantau penuh oleh ibu. Dia sering teman saya mengikuti penggambaran di luar, terutama bagi jurugambar yang dia tidak kenal.
“Sebaik mampu berdikari, saya tidak ditemani, namun biasanya saya memaklumkan di mana atau dengan siapa saya keluar,” kata pemenang New Face Model Search 2011 ini.
Wafa berkata, pengalaman menjadikan dia lebih matang untuk menangani cabaran dan godaan serta memilih sebarang acara yang ingin dijayakan.
“Bukan meletakkan harga mahal selepas popular, cuma saya perlu bijak mengenal pasti ruang serta peluang sepanjang bergiat dalam bidang ini,” katanya.
RM3,000 satu malam
“Pernah seorang daripada model saya mengadu diajak VIP ke bilik tidur dengan tawaran RM3,000 bagi satu malam, selain dijanjikan banglo dan kereta mewah jika sanggup menjadi pemuas nafsunya,” kata Nina, ejen antara model dan pelanggan yang kebanyakannya membabitkan golongan kenamaan (VIP).
Menurut Nina, tugasnya yang menyediakan model untuk sesuatu majlis peragaan produk mahupun memperkenalkan pakaian atau butik tertentu menemukannya dengan pelbagai kerenah pelanggan, terutama yang mahukan model bagi khidmat seks.
Katanya, pengalaman mengendalikan sebuah majlis eksklusif di banglo mewah milik orang kenamaan awal tahun ini antara peristiwa yang tidak mampu dilupakannya.
“Ketika itu saya dan rakan kongsi mengendalikan 20 model untuk pentas peragaan, termasuk dari luar negara. Ada kalangan VIP bertanya sama ada kami menyediakan model yang boleh dibawa ke ranjang atau tidak tanpa berselindung.
“Saya katakan, kami tidak menyediakan khidmat begitu, tapi cara memberitahu pelanggan atau VIP itu dalam nada sopan menyebabkan mereka boleh menerima dengan baik.
“Tidak dinafikan ada pelanggan berurusan secara terus dengan model untuk tujuan itu, bahkan ada model yang dilanggani diberi pelbagai barangan mewah sehingga ada yang sanggup menjaja maruah untuk meraih kesenangan hidup,” katanya.
Beliau berkata, ada yang gelap mata dengan tawaran sedemikian dan menerimanya tanpa memikirkan dosa serta halal haram kerana terlalu mengejar kebendaan.
“Mungkin model yang lama bergiat di bidang ini dan tahu selok-belok untuk menepis pelawaan lelaki miang itu tidak mudah hanyut dengan tawaran lelaki kaya yang dahagakan belaian.
“Berbeza dengan model baru setahun jagung yang tidak tahu asam garam dunia peragaan serta cepat tersilau dengan pelawaan lumayan lalu terjebak dengan aktiviti tidak bermoral ini walaupun bukan semua,” katanya.
No comments:
Post a Comment