Sunday, 15 September 2013

Meneroka bioetika untuk umat


BAYANGKAN senario berikut:
* Anda sakit kuat dan satu-satunya ubat diperbuat daripada khinzir. Bolehkah anda memakannya?
* Isteri anda tenat koma. Anda tidak sampai hati melihat dan mahu menamatkan penderitaannya. Apakah hukumnya?
* Bapa anda berhasrat mendermakan seluruh badannya kepada sains untuk tujuan penyelidikan selepas kematiannya. Apa kata agama?
* Isteri kawan anda hamil tetapi perlu menjalani kemoterapi. Doktor menasihatkan beliau agar menggugurkan kandungannya. Bagaimana?
* Anda penyelidik. Bolehkah anda menjalankan ujian ke atas haiwan atau manusia?
Begitulah banyaknya cabaran berkenaan sains dan perubatan yang menanti umat hari ini. Sebutlah 'makanan GM' (genetically modified), 'bayi tabung uji' atau 'kloning', sesetengah kita pasti pening. Bagi kita, itu semua istilah asing berbunyi futuristik yang kita anggap mungkin tiada kena-mengena dengan penakatan harian kita.
Hakikatnya, sedar atau tidak, kesemuanya itu sudah menjadi perkara lumrah dalam kehidupan dewasa ini. Jadi penting kita mempunyai kod tatalaku atau etika menanganinya. Etika itu lebih khusus digelar bioetika - cakap mudahnya, garis panduan yang membimbing kita menangani isu-isu etika sains dan perubatan. Umat Islam turut memerlukan bioetikanya sendiri. Kenapa?
Ambil contoh ubat diperbuat daripada khinzir tadi. Tidakkah ia khusus menjejas orang kita saja? Atau contoh terbaru: pemerintah Singapura kini mengkaji perundangan berkenaan status anak yang misalnya dihasilkan melalui kaedah in-vitro fertilisation (IVF) - di mana benih (telur) yang diambil daripada seorang wanita disuntik dengan sperma dalam makmal. Tentulah ini mempunyai implikasi dari segi faraid - sekali lagi khusus pada orang kita.
Lantaran itulah, keputusan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia- Singapura (Mabims) minggu lalu untuk menceburi dan meneroka bidang bioetika dialu-alu. Mabims dibentuk pada 1989 antara empat negara itu. Namun, tidak pernah isu bioetika dibincangkan dalam pertemuannya yang diadakan secara dwitahunan.
Padahal bioetika bukan barU. Cuma ia satu bidang yang baru mula diiktiraf di rantau ini. Malaysia, misalnya, melancarkan Majlis Bioetika Negara baru September lalu. Indonesia pula membentuk Komisi Bioetika Nasional pada 2004.
Singapura lebih awal - sudah ada Jawatankuasa Penasihat Bioetika sejak 2000. Jadi, biarpun lebih lewat, langkah Mabims perihal bioetika kini tepat demi memastikan umat Islam tidak terbelakang dari segi sains dan perubatan.
Ini kerana adanya garis panduan bioetika dari segi syariah boleh meningkatkan kesedaran malah semangat mana-mana Muslim yang mahu menceburi bidang sains dan perubatan. Muzakarah Ulama Agama Mabims kini sepakat ingin menubuhkan satu rangka etika dalam biosains dan bioteknologi. Para anggotanya yang kali ini bertemu di Singapura juga berazam menyarankan kepada pegawai atasan majlis agama negara masing-masing agar muzakarah sedemikian dikerapkan lagi.
Besar harapan saya, Mabims kelak bukan saja melakarkan dan berkongsi garis panduan perihal bioetika Islam sehingga membantu umat mengharungi masa depan. Lebih penting lagi, saya mengharapkan Mabims memberi kefahaman itu kepada umat Islam melalui pendidikan yang kemudian mencetuskan minat dan cinta lebih besar pada sains dan perubatan.
Bahkan, bagus sekiranya Mabims menaja dan menjana program yang melahirkan tokoh ulama dan cendekiawan yang arif dalam dua bidang itu. Mabims sudah pun berjaya membiasakan umat Islam di empat negara anggota kepada kaedah menentukan awal bulan Hijrah ataupun Aidilfitri.
Lantaran itulah, saya pasti tekadnya dalam soal bioetika itu kelak menjadi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kami memerlukan sumbangan anda untuk menaik taraf blog ini, Hanya click iklan ini

Penciptaan Saya

Tingkatkan traffik anda di sini

BlogPingSite ping fast  my blog, website, or RSS feed for Free My Ping in TotalPing.com Blogged.my free bloggers backlinks - link building services where you can get link exchange free 100% to create backlinks for SEO Ping your blog, website, or RSS feed for Free Breaking News Free Geoogle ADS profitreload