WASHINGTON/TOKYO:
Pemerintah Amerika Syarikat dan Jepun tidak sepakat tentang bagaimana
syarikat penerbangan komersial harus beroperasi dalam ruang udara yang
diisytihar China sebagai zon pertahanan udaranya, yang kini melibatkan
syarikat penerbangan dalam pertikaian politik yang kian meningkat di
perairan Laut China Timur.
Jabatan Negara Amerika menggesa syarikat penerbangan negara itu
supaya memberitahu pihak berkuasa
China sebelum melakukan penerbangan
merentasi zon tersebut, manakala Jepun pula mendesak syarikat
penerbangannya agar berhenti membekalkan data penerbangan seperti itu.
China membentuk zon udara itu, merangkumi kawasan perairan dekat
gugusan pulau di Laut China Timur, yang dituntut
Jepun dan China sebagai
wilayah masing-masing.
Ketegangan berhubung pertikaian wilayah antara negara-negara berjiran
itu pada masa lalu merapatkan hubungan Jepun dengan Amerika, yang
meletakkan askar-askar dan pangkalan udaranya di sekitar kawasan gugusan
pulau itu.
Naib Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dijangka meminta penjelasan
pemimpin China mengenai tujuan mereka membentuk dan mengenakan syarat
pada zon itu apabila beliau melawat Jepun, China dan Korea Selatan,
minggu ini.
Syarikat ANA Holdings Inc dan Japan Airlines Co berhenti mengongsi
rancangan penerbangannya dengan pihak China selepas Jepun mengecam
langkah China itu.
Nasihat
Amerika kepada syarikat penerbangannya itu dibuat sedang
Jepun menimbulkan pertikaian terhadap zon berkenaan pada satu mesyuarat
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal.
Perdana Menteri Jepun, Encik Shinzo Abe, kelmarin berkata beliau akan
membincangkan tindakan kerajaannya terhadap zon pertahanan udara China
itu dengan Encik Biden, lapor agensi berita Kyodo.
Sementara itu, Taiwan berkata pesawat tenteranya sudah membuat
sekitar 30 penerbangan merentasi zon pertahanan udara China yang baru
dibentuk itu, yang kelihatan bertindih dengan zon yang juga ditutut
Taiwan.
No comments:
Post a Comment