Tuesday, 3 December 2013

PM Thai enggan gantung demokrasi







TERUS BERTEMPUR: Para penunjuk perasaan Thai bergegas melarikan diri apabila pasukan polis antirusuhan memancutkan air ke arah mereka semasa berlaku pertempuran antara kedua-dua pihak di ibu pejabat polis metropolitan Bangkok, semalam. - Foto REUTERS
Yingluck tolak permintaan penunjuk perasaan agar meletak jawatan dan tawar kesediaan hurai krisis secara aman
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Yingluck Shinawatra, menolak tuntutan para penunjuk perasaan yang menggesa agar digantung sistem demokratik negara itu dan mengisyaratkan bahawa beliau tidak akan meletak jawatannya, semalam.
Sebaliknya, beliau berkata beliau akan "membuka semua pintu" untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap krisis politik yang mencengkam Bangkok.
Ini sedang pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dengan para penunjuk perasaan, yang mahu menggulingkan kerajaan pimpinan Cik Yingluck, di ibu kota Thai itu.
Polis menggunakan peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air terhadap para penunjuk perasaan, yang membaling batu ke arah pasukan keselamatan, yang mempertahankan beberapa bangunan utama pemerintah daripada menjadi sasaran pembantah.
Pergolakan selama seminggu di Bangkok itu menyebabkan beberapa orang maut dan lebih 100 orang cedera.
Bantahan tersebut bertujuan menggulingkan kerajaan sekarang yang dilantik dan menggantikannya dengan sebuah "majlis rakyat".
Ia merupakan pergolakan sivil terbaru yang menggegarkan Thailand sejak para jeneral negara itu, yang taat kepada keluarga diraja Thai, menggulingkan bekas perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra, yang juga abang Cik Yingluck, tujuh tahun lalu.
Pertumpahan darah yang berlaku di ibu kota Thai sejak beberapa hari lalu itu juga adalah keganasan politik terburuk yang pernah berlaku sejak tindakan keras pihak tentera Thai terhadap para penyokong "Baju Merah" pro-Thaksin pada 2010.
Kesannya ke atas ekonomi Thailand, khususnya sektor pelancongan, amat membimbangkan.
Dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen sejak protes berusia seminggu itu menjadi lebih buruk lewat Sabtu lalu, Cik Yingluck berkata beliau tidak akan mematuhi tuntutan pemimpin penunjuk perasaan supaya meletak jawatan kerana mereka telah melanggar undang-undang negara tersebut.
"Apa sahaja yang boleh saya lakukan untuk membuat rakyat bahagia, saya bersedia melakukannya... tetapi sebagai seorang perdana menteri, apa yang boleh saya lakukan haruslah mengikut perlembagaan," kata beliau, sambil menegaskan bahawa beliau tidak mahu "berpaut pada kuasa".
Cik Yingluck selanjutnya menegaskan bahawa kerajaan pimpinan beliau tetap terbuka terhadap "semua pilihan" untuk memulihkan semula keamanan.
Para penunjuk perasaan yang dipimpin bekas ahli parlimen pembangkang, Encik Suthep Thaugsuban, kelmarin mengeluarkan kata dua kepada kerajaan Cik Yingluck supaya menyerahkan kuasa kepada rakyat Thai menjelang hari ini.
Kata dua itu dikeluarkan dalam satu mesyuarat rahsia dengan perdana menteri Thai itu di hadapan para komander tentera, tentera laut dan tentera udara.
Encik Suthep juga menggesa kakitangan awam Thai supaya mengadakan mogok.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kami memerlukan sumbangan anda untuk menaik taraf blog ini, Hanya click iklan ini

Penciptaan Saya

Tingkatkan traffik anda di sini

BlogPingSite ping fast  my blog, website, or RSS feed for Free My Ping in TotalPing.com Blogged.my free bloggers backlinks - link building services where you can get link exchange free 100% to create backlinks for SEO Ping your blog, website, or RSS feed for Free Breaking News Free Geoogle ADS profitreload