LUIZ FELIPE SCOLARI: Masih berharap para pemain Chelsea dapat terus bermain dengan baik. - Foto fail
20 Nov 2013
Scolari ramal anak didik Hodgson menyerlah
Scolari pernah membimbing pasukan Liga Perdana England, Chelsea, dan tiga pasukan yang menyingkirkan negara itu dalam pertandingan besar dengan Brazil dalam Piala Dunia 2002 dan kemudian bersama Portugal dalam kejohanan Euro 2004 dan Piala Dunia 2006.
Namun Scolari, yang pernah dilamar menjadi pengurus England dan kini menjadi bos Brazil buat kali kedua, menekankan bahawa dua daripada tiga perlawanan tersebut terpaksa diputuskan melalui tendangan penalti.
Menurut beliau, anak didik Roy Hodgson yang berusaha menjadi pasukan pertama England memenangi satu pertandingan besar selepas menjulang Piala Dunia pada 1966, mungkin dapat mencatat kejutan di Brazil tahun depan.
"England salah satu pasukan yang mungkin menyerlah dalam Piala Dunia," kata Scolari kepada akhbar Guardian kelmarin menjelang perlawanan persahabatan antara negara itu dengan Jerman yang dijadualkan berlangsung di Stadium Wembley dinihari tadi.
"Roy melaksanakan tugasnya dengan baik dengan membawa masuk pemain baru. England mempunyai pasukan yang kuat dan saya rasa mereka kini lebih baik dari segi teknikal.
"Orang ramai berkata saya pakar mengalahkan England tetapi kemenangan Portugal ke atas mereka dalam Euro 2004 dan di Jerman pada 2006 diputuskan menerusi tendangan penalti.
"Pada pendapat saya, England belum yakin untuk membuat langkah selanjutnya yang dapat meletakkan mereka di antara empat pasukan utama."
Scolari, 65 tahun, yang pernah menguruskan Chelsea selama tujuh bulan pada 2008, menekankan bahawa pengalaman singkatnya di kelab London itu tidak mematahkan semangatnya kembali menjadi pengurus dalam Liga Perdana.
"Jika saya diberi peluang kembali, saya akan melakukannya. Chelsea sebuah kelab istimewa dan saya masih berharap mereka dapat terus bermain dengan baik.
"Penyokong mereka juga mengagumkan. Saya masih ingat layanan mesra peminat Chelsea walaupun berlaku perkara yang tidak diharapkan.
"Saya berasa kecewa atas apa yang berlaku berkaitan pemergian saya di Chelsea. Saya menjangka tempoh tugas saya di Chelsea lebih lama."
SAMBUNG BACAAN...
No comments:
Post a Comment