MALAM kelmarin pastinya meninggalkan sejuta kenangan manis bagi artis-artis
muda, SleeQ, Hafiz Suip dan Cakra Khan, yang berhempas pulas membangun
kerjaya dalam bidang nyanyian.
Dengan tiga anugerah setiap seorang, mereka berkongsi kedudukan
sebagai penerima Anugerah Planet Muzik (APM) terbanyak di acara
gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Suntec Singapore.
Kebetulan pula, masing-masing mewakili tiga negara, Singapura,
Malaysia dan Indonesia, yang bertanding dalam acara tahunan anjuran
bersama stesen radio MediaCorp Ria 89.7FM dan Warna 94.2FM serta saluran
televisyen MediaCorp Suria.
Di ambang SleeQ berhijrah ke Malaysia akhir bulan ini, atas dorongan
'sifu' mereka, Aaron Aziz, mereka dinobatkan sebagai pemenang kategori
Ikon Media Sosial, Lagu Singapura Paling Popular dan Kolaborasi Terbaik.
Hafiz, juara Akademi Fantasia 7 pula teruja dan bersyukur atas
kemenangannya dalam kategori Duo/Kumpulan Terbaik, Artis Serantau Paling
Popular dan Lagu Serantau Paling Popular.
Manakala muka baru di persada seni suara Indonesia, Cakra Khan yang
memiliki 'suara jantan' pula diiktiraf sebagai pemenang Vokal Terbaik
(Artis Baru Lelaki), Lagu Terbaik Indonesia dan Lagu Serantau Terbaik.
Boleh dikatakan sesi wawancara bersama mereka kerap terhenti kerana
dalam kesibukan menjawab soalan, mereka perlu bergegas turun naik pentas
bagi menerima anugerah yang datang silih berganti.
Menyifatkan kemenangan malam itu sebagai pembakar semangat, anggota SleeQ, Alif Abdullah (Alyph), 23 tahun, berkata:
"Selain keluarga dan peminat SleeQ yang tidak putus-putus memberi
sokongan, kami juga berterima kasih kepada pencipta media sosial seperti
Facebook, YouTube, Twitter dan Instagram. Mereka memang genius!
"Wadah ini mendekatkan kami lagi dengan peminat-peminat kami,
membolehkan mereka menikmati hasil karya kami secara mudah lagi cepat."
Sepupunya, Ahmad Syarifullah (Syarif), juga 23 tahun, pula berkata
dalam memburu kerjaya seni, mereka perlu menebalkan muka dan mengambil
risiko.
Ini termasuk dalam mengambil keputusan penting lagi genting berhijrah ke Malaysia bagi menukik pasaran yang lebih luas.
"Kita tak boleh tunggu macam buah tak jatuh dan tak boleh jangkakan keajaiban berlaku dalam hidup kita tanpa bekerja keras.
"Tak boleh malu-malu, rajin bertanya dengan yang tahu dan harus berani ambil risiko," ujarnya.
Sungguhpun begitu, mereka berdua memberi jaminan akan kembali ke
Singapura sebulan sekali bagi memenuhi undangan dan untuk kekalkan
keakraban bersama peminat di sini.
Hafiz, 23 tahun, yang cukup hit dengan lagu filem Ombak Rindu dan
drama 'tangkap lentok' Adam dan Hawa (Muara Hati), pula berkata
kemenangan di peringkat serantau itu adalah titik tolak baginya
memperluas empayar dalam dunia muzik.
Beliau adalah artis dengan pencalonan terbanyak iaitu dalam tujuh kategori.
"Saya mengharapkan rezeki saya ada di luar Malaysia. Justeru, saya
rasa bertuah dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan bekerjasama
dengan ikon muzik seperti Datuk M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza.
"Mereka banyak memberi tunjuk ajar kepada saya yang masih hijau dalam
industri ini. Kata mereka, jadilah diri sendiri, berikan 100 peratus
tenaga dan tumpuan pada bidang pekerjaan.
"Yang penting, jangan kita lengah-lengahkan sesuatu tawaran yang baik sebab peluang itu hanya sekali saja," tambahnya.
Semangat berkobar-kobar Hafiz untuk maju dalam bidang nyanyian ini turut dilihat rakan duetnya, Datuk Siti Nurhaliza.
Bintang berkarisma yang nyatanya masih memukau lautan peminatnya mengulas:
"Bagi sesebuah lagu duet dengan pasangan penyanyi lelaki dan
perempuan, kita perlukan keserasian antara kededuanya dan tonasi suara
yang tidak jauh beza.
"Saya bertuah kerana Hafiz adalah artis yang bekerja keras dan melakukan yang terbaik bagi setiap persembahan."
Cakra, 21 tahun, yang merendah hati pula berkata APM itu cukup
bermakna bagi dirinya yang popular dengan lagu Harus Terpisah dan
Setelah Kau Tiada.
"Semua ini anugerah Tuhan yang saya syukuri. Suara yang disebut-sebut sebagai suara 'ganteng' itu juga pemberian-Nya.
"Saya kira sambutan baik bagi lagu-lagu saya ini dan bagaimana ia
bisa 'roket' di carta muzik, berputik daripada keinginan menyampaikan
sesuatu yang mudah dihadam dan difahami pendengar. Mudah-mudahan selepas
pengiktirafan ini, saya mampu mengadakan konsert saya sendiri," jelas
lulusan kursus vokal klasikal daripada Sekolah Tinggi Musik Bandung itu.
SAMBUNG BACAAN....