MANILA:
Pasukan penyelamat semalam menamatkan operasi mencari mangsa kejadian
gempa bumi kuat di pulau peranginan Bohol, yang telah mengorbankan
sekurang-kurangnya 180 orang.
Pulau yang didiami sekitar 1 juta penduduk itu telah mengalami
kejadian tanah runtuh serta jambatan dan bangunan roboh ekoran gempa
sekuat 7.1 pada skala Richter pada Selasa lalu.
"Operasi menyelamat telah dihentikan dan kami sekarang sedang
menjalankan operasi pemulihan. Kami masih mencari 13 orang yang
dilaporkan hilang. Para penyelamat kini berada di tapak kejadian untuk
mencari mayat mereka," kata ketua agensi bencana Filipina, Encik Eduardo
del Rosario.
Pulau Bohol yang terletak sekitar 600 kilometer dari ibu kota Manila,
terkenal dengan keindahan pantainya di kalangan para pelancong.
Ia juga mempunyai banyak gereja purba, yang rata-ratanya mengalami kerosakan teruk atau runtuh ekoran gempa itu.
Menurut Encik Del Rosario, sekurang-kurangnya 167 orang telah terkorban di pulau itu.
Lagi 12 orang terkorban di pulau Cebu dan satu kematian dilaporkan di Siquijor.
Tiada pelancong asing yang terkorban.
Sehubungan dengan itu, Gabenor Bohol, Encik Edgar Chatto, dalam satu
sidang akhbar semalam berkata bekalan elektrik telah dapat dipulihkan di
pulau itu sementara jalan-jalan raya utama, yang sebelum ini terjejas
dengan tanah runtuh telah dapat dibuka semula.
Ini akan dapat mempercepatkan lagi pengagihan bantuan kemanusian kepada para mangsa, katanya.
Sebelum ini, helikopter digunakan bagi memindahkan para pesakit yang
cedera dari kawasan pedalaman dan mengagihkan bekalan makanan, ekoran
jalan-jalan raya utama yang tidak dapat dilalui.
Menurut pihak berkuasa, bencana itu telah menyebabkan hampir 400,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Ramai yang masih enggan pulang ke rumah dan berlindung di khemah-khemah sementara kerana takut gegaran susulan berlaku.
Gempa itu telah menyebabkan kerosakan kepada lebih 34,000 rumah,
dengan 109,000 penduduk kini ditempatkan di pusat-pusat perlindungan
sementara di Bohol.
SAMBUNG BACAAN...
No comments:
Post a Comment