Friday, 26 July 2013

4 gerabak terbalik, 77 terbunuh

BERI RAWATAN KECEMASAN: Para mangsa diberi rawatan kecemasan selepas sebuah kereta api terbabas berdekatan bandar Santiago de Compostela, semalam. - Foto REUTERS
NAHAS KERETA API DI SEPANYOL

Mayat penumpang bergelimpangan sepanjang landasan
SANTIAGO DE COMPOSTELA: Sekurang-kurangnya 77 penumpang maut manakala lebih 140 lagi cedera apabila kereta api tergelincir dari landasan di barat daya Sepanyol, semalam.
Dalam kejadian pada 8.42 malam (waktu tempatan) itu, empat daripada gerabak terbalik dan terbakar, dengan mayat penumpang bergelimpangan dan terbaring di sepanjang landasan.
Kereta api itu dilaporkan membawa 218 penumpang dan empat kakitangan. Ia sudah hampir tiba di Stesen Santiago de Compostela, di wilayah Galicia, apabila kemalangan berlaku.
Beberapa saksi berkata mereka mendengar letupan kuat.
"Saya berada di rumah dan dengar bunyi seperti dentuman guruh. Ia sangat kuat dan saya nampak banyak asap selepas itu. Kemudian saya dengar orang berteriak, ini satu bencana. Tiada sesiapa pun yang pernah melihat keadaan seperti ini sebelum ini," kata Cik Maria Teresa Ramos, 62 tahun, yang tinggal hanya beberapa meter daripada tapak kejadian.
Jirannya, Encik Martin Rozas, 39 tahun, pula berkata beliau telah menutup mayat-mayat dengan selimut, selain menolong mengeluarkan para penumpang yang cedera daripada gerabak yang kelihatan remuk.
"Rasanya macam satu gempa bumi baru berlaku," kata beliau.
Seorang lagi saksi, Encik Francisco Otero, 39 tahun, berkata:
"Benda pertama yang saya lihat ialah mayat seorang wanita. Saya tidak pernah nampak mayat sebelum ini. Jiran-jiran saya cuba mengeluarkan penumpang yang terperangkap di dalam gerabak dengan menggunakan beliung dan tukul besi sebelum akhirnya dapat mengeluarkan mereka menggunakan gergaji."
Kereta api itu dikatakan dari Madrid dan dalam perjalanan ke bandar Ferrol.
Menurut pekerja penyelamat, 73 mayat telah dikeluarkan dari gerabak kereta api sementara empat lagi penumpang meninggal dunia di hospital.
Seramai 141 penumpang dilaporkan mengalami pelbagai kecederaan.
Saluran televisyen TVE melaporkan kereta api itu mungkin terbabas kerana ia dipandu terlalu laju.
Akhbar El Mundo pula melaporkan kelajuan kereta api itu mencapai 220 kilometer sejam meskipun had kelajuan bagi zon bandar ialah 80 kilometer sejam.
Namun, jurucakap syarikat kereta api negeri, Renfe, berkata adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kemalangan.
"Siasatan sedang dijalankan dan kita perlu tunggu keputusannya. Kita akan tahu kelajuan kereta api itu tidak lama lagi apabila kita memeriksa kotak hitam," kata jurucakap itu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Encik Mariano Rajoy, melawat tapak kemalangan semalam dan telah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Kejadian semalam merupakan kemalangan kereta api yang terburuk di Sepanyol sejak 77 orang terkorban apabila sebuah kereta api terbabas pada 1972 di Andalusia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kami memerlukan sumbangan anda untuk menaik taraf blog ini, Hanya click iklan ini

Penciptaan Saya

Tingkatkan traffik anda di sini

BlogPingSite ping fast  my blog, website, or RSS feed for Free My Ping in TotalPing.com Blogged.my free bloggers backlinks - link building services where you can get link exchange free 100% to create backlinks for SEO Ping your blog, website, or RSS feed for Free Breaking News Free Geoogle ADS profitreload