BERSAMA USTAZ MOHAMED SALEHIN
SOALAN
Bolehkah orang yang mempunyai banyak qadak solat melakukan solat sunat yang lain?
Ada yang menyatakan tidak perlu qadak solat dan cukup dengan hanya sembahyang taubat kerana, jika tidak, seseorang itu akan terus-terusan hanya melakukan qadak solat sahaja.
Boleh ustaz beri penjelasan mana yang lebih afdal bagi orang yang banyak qadak tetapi tidak mampu tunaikan.
JAWAPAN
Ibadah solat adalah rukun Islam yang kedua dan merupakan kewajipan yang sangat dituntut agama.
Ia hendaklah dilaksanakan dalam waktunya dalam apa jua keadaan.
Sekiranya tertinggal atau ditinggalkan hendaklah diqadak.
Menurut Dr Wahbah Al-Zuhaily, takrifan i qadak ialah melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya.
Ulama membahagikan solat yang perlu diqadak kepada dua.
Pertama, qadak bagi mereka yang tertinggal solat dengan keuzuran.
Kedua, qadak bagi tertinggal tanpa keuzuran.
Ibadah solat yang tertinggal disebabkan keuzuran (iaitu tertidur, terlupa, tidak sedar diri kerana sakit, berperang) hendaklah dilakukan sebaik sahaja bangun, teringat, sedar atau terlepas daripada hambatan perang, tanpa sebarang kifarat (gantian) yang lain.
Dianjurkan ke atasnya memohon keampunan daripada Allah swt dan memperbanyakkan solat sunat bagi menutup kekurangan ibadahnya itu dan kalau-kalau ia disebabkan oleh kelalaian diri.
Ini adalah mazhab jumhur (majoriti) ulama.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah ra, Nabi saw bersada:
"Sesungguhnya bukanlah tertidur itu mengabaikan. Mengabaikan adalah orang yang sengaja tidak mengerjakan solat sehingga tiba waktu solat yang lain.
"Barangsiapa yang tertidur, hendaklah dia solat sebaik sahaja dia bangkit. Pada masa hadapan hendaklah dia solat pada waktunya." (Riwayat Muslim)
Mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah berdosa.
Para ulama mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali bersepakat bahawa mengqadak solat yang tertinggal tanpa keuzuran dengan segera adalah wajib.
Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah saw: "Barangsiapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat." (Riwayat Muslim)
Mereka juga dituntut untuk bertaubat dengan segera kerana dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang kemurkaan Allah swt.
Menqadak solat yang ditinggalkan itu adalah tuntutan taubat.
Dosa orang berkenaan akan terus dikira selama mana solat berkenaan tidak diqadak.
Jika qadak solat adalah wajib kerana tertidur dan lupa, maka qadak menjadi lebih wajib jika ditinggalkan dengan sengaja.
Orang yang mempunyai banyak kewajiban qadak solat boleh melakukan solat sunat yang lain.
Cuma, ulama lebih menggalakkan menunaikan qadak solat yang wajib kerana pahala melakukan ibadah yang wajib (walaupun qadak) adalah lebih besar daripada melakukan solat-solat sunat yang lain.
Oleh itu, terdapat dua cara untuk qadak.
Pertama, mengqadak solat mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya jika dia tahu jumlah solat yang telah ditinggalkan.
Kedua, membuat anggaran jumlah yang perlu diqadak jika dia tidak tahu dengan pasti berapa banyak yang telah ditinggalkannya, iaitu sejak akil baligh.
Hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dan hanya berhenti jika sudah yakin telah menunaikan semua qadak solat.
Dalam dua keadaan ini, bukanlah bermaksud wajib diqadak solat sahaja dan tidak dibenarkan keluar rumah dan terhenti kehidupannya.
Menurut para ulama, sekurang-kurangnya atau yang terbaik adalah melakukan qadak solat setiap kali selepas selesai solat fardu dan ia dilakukan secara berterusan.
Jika benar-benar tidak mampu atau ditakdirkan meninggal dunia sebelum sempat mengqadak semua solatnya, maka rahmat Allah pasti bersamanya kerana Allah hanya menuntut daripada hamba-hamba-Nya untuk berusaha sebaik mungkin dan dalam batas kemampuan diri sahaja.
Taubat nasuha orang ini, insyaAllah, akan membersihkan saki baki solat yang tidak terqadak.
Perlu dimaklumi, melakukan qadak solat fardu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Waktu-waktu yang dilarang melakukan solat biasa tidak berlaku bagi menunaikan qadak solat.
Pendapat yang mengatakan tidak perlu qadak solat dan hanya wajib bertaubat memang ada tetapi ia adalah pendapat amat minoriti yang berada di luar daripada empat mazhab utama.
Berpegang pada pendapat majoriti ulama dari kesemua empat mazhab sebagaimana yang dijelaskan di atas adalah lebih baik.
Nota: Ustaz Mohamed Salehin bin Mohamed Deros bertugas sebagai pengkaji di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (NTU). Beliau berkelulusan sarjana muda syariah dari Universiti Kuwait.
No comments:
Post a Comment