VIRUS BERBAHAYA: Sejauh ini virus
yang mencetuskan sindrom pernafasan koronavirus atau Mers-CoV ini telah
meragut 45 jiwa, kebanyakannya di Arab Saudi. - Foto AP
20 Jul 2013
SINDROM PERNAFASAN KORONAVIRUS (MERS-COV)
Virus belum timbulkan kecemasan sejagat
Keputusan sebulat suara panel penasihat WHO
Jawatankuasa kecemasan WHO, yang terdiri daripada para pakar kesihatan dari luar agensi Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) itu, kelmarin sebulat suara memutuskan bahawa sindrom pernafasan koronavirus, atau Mers-CoV, tidak memenuhi syarat-syarat untuk diklasifikasikan sebagai satu keadaan kecemasan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa, kata WHO dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa yang terdiri daripada 15 anggota itu, termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Arab Saudi, Encik Ziad Memish, dan para pegawai dari enam negara yang mempunyai ramai penduduk Islam lain, bertemu menerusi telesidang buat kali kedua untuk menilai ancaman virus itu, terutamanya sedang jutaan pengunjung bersiap sedia melawat Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji.
"Mereka tidak menyatakan ia tidak penting, mereka tidak berkata ayuh teruskan dengan perkara lain," kata Encik Keiji Fukuda, penolong pengarah besar WHO bagi keselamatan kesihatan dan sekitaran, kelmarin, di ibu pejabat agensi tersebut di Geneva selepas keputusan panel berkenaan.
"Perisytiharan dan acara harus seimbang antara satu sama lain. Jika tidak, anda akan mula kehilangan kewibawaan," tambahnya.
Virus yang sebelumnya tidak diketahui itu telah menjangkiti lebih 82 orang dan membunuh 45 orang sejak September lalu, menurut perangkaan WHO.
Semalam, pihak berkuasa di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi melaporkan enam kes baru Mers, kata agensi itu.
Jangkitan terbaru membabitkan empat wanita dan dua lelaki berusia antara 26 dengan 42 tahun, menjadikan jumlah kes jangkitan virus itu di seluruh dunia mencecah 88 orang, termasuk 45 kematian, kata agensi PBB itu dalam kenyataannya.
Lima daripada enam kes baru itu melibatkan pekerja kesihatan dan satu lagi adalah seorang lelaki yang berhubungan dengan seorang yang telah dijangkiti virus tersebut, kata WHO lagi.
Jutaan jemaah dijangka membanjiri Makkah di Arab Saudi pada musim haji Oktober ini.
Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengurangkan visanya tahun ini, sambil menyatakan kebimbangannya terhadap kerja peluasan di tapak utama masjid.
WHO juga sedang menyiapkan nasihat perjalanan berkaitan dengan koronavirus itu, yang akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi.
No comments:
Post a Comment