Monday, 12 August 2013

ESM Goh: Singapura perlu elak 'krisis pertengahan usia'

SINGAPURA, yang bakal mencapai usia 50 tahun kemerdekaan dalam masa dua tahun lagi, kini berada di titik pemusingan dan negara ini perlu menjalani perubahan agar dapat mengelakkan diri daripada mengalami "krisis pertengahan usia", kata Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong.
Berucap di Majlis Makan Malam Hari Kebangsaan Marine Parade 2013, Encik Goh berkata dengan sekitaran luar yang lebih kompleks dan cabaran dalaman yang lebih besar, "Singapura perlu menulis bab baru lagi berinspirasi dalam kisah Singapura".
"Ini bermakna dasar-dasar baik yang dahulu telah membantu negara perlu dikemas kini bagi memastikan ia dapat mencapai matlamat yang ingin dicapai," kata beliau.
Pemerintah, ujarnya, sudah mula menyemak dan membaiki dasar mengenai isu-isu yang menimbulkan keghairahan di kalangan warga Singapura, namun menambah usaha itu juga memerlukan sokongan rakyat.
Encik Goh, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade, berkata kontrak sosial yang baru antara rakyat dengan pemerintah perlu dijalin, jika tidak "saya bimbang Singapura akan mula mengalami kemunduran".
Memberikan tiga contoh yang dianggap amat penting bagi warga Singapura - pekerjaan, perumahan awam dan kos penjagaan kesihatan yang dimampui - Encik Goh mengalu-alukan langkah Pemerintah menyemak dasar bagi tiga bidang itu.
"Semua ini ada dalam tema yang timbul hasil proses Perbincangan Singapura Kita (OSC).
"Saya pasti, Perdana Menteri akan menyampaikan laporan terkini dan membentangkan rancangan bagi perkara-perkara itu, dan bidang-bidang lain, semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan beliau minggu depan.
"Saya harap warga Singapura akan mempertimbangkan perubahan yang akan dilaksanakan, dan menyokong agenda Pemerintah untuk melakarkan haluan baru dan menarik bagi negara," kata Encik Goh di majlis yang diadakan di Restoran Qian Xi (Paya Lebar) di Tanjong Katong Complex malam tadi.
Menyifatkan Pemerintah sebagai seorang arkitek yang mereka dan membina sebuah rumah yang satu bagi semua warga Singapura, Encik Goh berkata rakyat juga perlu sama-sama meringankan tangan membantu membina rumah itu bersama Pemerintah agar ia "bukan sekadar sebuah struktur fizikal, tetapi juga dipenuhi rasa cinta, kasih sayang, hubungan baik dan keselamatan di antara penghuni".
Namun, memandangkan politik di Singapura "kini lebih majmuk dan masyarakat mahukan kebebasan memilih gaya hidup mereka dan mahu menyumbang pada perlakaran dasar serta mempengaruhi keputusan kepada pihak mereka", Encik Goh menimbulkan beberapa soalan, antaranya cara memastikan wujudnya pandangan yang berbeza-beza dalam satu rumah, tetapi pada masa sama tidak menjejas usaha membina rumah itu bersama.
"Kededua pemerintah dan warga perlu memainkan peranan masing-masing.
"Untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang praktikal, birokratik berkesan tanpa rasa belas kasihan tidak lagi mencukupi.
"Pemerintah perlu menambat hati orang ramai. Ia perlu melihat masalah daripada perspektif orang ramai dan bantu mereka dengan cara yang adil dan realistik...
"Warga Singapura pula harus menyokong pemerintah dalam bidang-bidang yang memastikan kejayaan jangka panjang Singapura, meskipun ada kalanya ia melibatkan sedikit pengorbanan," kata Encik Goh.
Beliau juga berkata Singapura tidak harus hilang kekuatannya merancang bagi jangka panjang.
Malah rakyat, kata beliau, harus lebih berdaya tahan dan berdikari untuk menangani sebarang kejutan atau cabaran yang tidak dijangka "meskipun Pemerintah kini melakukan lebih untuk memikul beban mereka".
"Sebagai sebuah negara, kita tidak harus tersepit dalam krisis pertengahan usia. Sebaliknya, kita harus berusaha menawan semula kelasakan, semangat boleh buat, dan hala tuju yang menyatukan masyarakat kita.
"Kita harus berani melakukan perubahan asas untuk menangani cabaran global dan domestik yang baru," kata Encik Goh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kami memerlukan sumbangan anda untuk menaik taraf blog ini, Hanya click iklan ini

Penciptaan Saya

Tingkatkan traffik anda di sini

BlogPingSite ping fast  my blog, website, or RSS feed for Free My Ping in TotalPing.com Blogged.my free bloggers backlinks - link building services where you can get link exchange free 100% to create backlinks for SEO Ping your blog, website, or RSS feed for Free Breaking News Free Geoogle ADS profitreload