Puteri berusia 42 tahun itu, Meshael Alayban, sebelum ini ditahan pihak berkuasa kerana dikatakan tidak membenarkan pembantu rumah berkenaan keluar rumah, merampas pasportnya dan hanya membayarnya AS$220 ($280) sebulan untuk bekerja hingga 16 jam sehari.
Kes itu terbongkar selepas wanita Kenya berusia 30-an itu lari dari kediaman itu.
Alayban, yang merupakan isteri Putera Arab Saudi Abdulrahman bin Nasser bin Abdulaziz al Saud, ditangkap pada awal bulan lalu di apartmen di Irvine, ke timur Los Angeles.
Dia didakwa dengan satu pertuduhan melakukan penyeludupan manusia dan boleh dikenakan penjara sehingga 12 tahun.
Pihak berkuasa turut menemui empat wanita Filipina yang belum diketahui status mereka.
Menolak dakwaan pendakwa bahawa wanita-wanita itu dilayan seperti hamba, peguam Alayban, Encik Paul Meyer dan Cik Jennifer Keller, dalam kenyataan kepada wartawan selepas sesi di mahkamah berkata:
"Wanita-wanita ini diberi telefon bimbit, kemudahan Internet dan televisyen kabel. Mereka juga diizin gunakan gimnasium dan spa serta dihantar membeli-belah dengan diberi wang tunai."
Hakim Gerald Johnston melahirkan rasa tidak puas hati kerana puteri itu tidak hadir. Kes itu akan disebut lagi pada September ini.
Alayban dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak AS$5 juta
No comments:
Post a Comment