Ia juga turut menyerang dan membunuh 12 orang lain di sebuah kampung berdekatan di bahagian timur laut Nigeria yang sedang bergolak, kata para pegawai kelmarin.
Serangan-serangan pada hujung minggu itu dipercayai dilakukan atas rasa dendam terhadap beberapa kumpulan pengawas rakyat yang ditubuhkan untuk membantu pihak tentera memerangi Boko Haram - sebuah kumpulan pemisah berfahaman pelampau yang dibentuk pada 2009.
"Kumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai anggota Boko Haram itu memasuki masjid tersebut dan melancarkan tembakan ke atas jemaah, membunuh 44 orang," kata seorang pegawai kanan pemerintah mengenai serangan di Konduga itu pada Ahad lalu.
"Kami percaya serangan itu ada kena-mengena dengan kerjasama para penduduk terhadap operasi keselamatan dalam mengenal pasti dan menangkap para anggota Boko Haram yang berada di khalayak mereka," katanya lagi.
Seorang pegawai berkata anggota-anggota Boko Haram yang disyaki itu juga menyerang kampung Ngom, di daerah Mafa yang berdekatan, dan menembak mati 12 orang di rumah masing-masing pada malam Sabtu lalu.
Beberapa penduduk juga bercakap mengenai sekumpulan penyerang di Konduga yang tiba dengan berpakaian seragam tentera - satu taktik yang mereka pernah gunakan pada masa lalu untuk menyamar - namun, butir-butir itu tidak dapat disahkan.
Keganasan tersebut berlaku sedang tentera Nigeria giat memburu para pemberontak di bahagian timur laut negara itu. Kawasan itu telah diletakkan dalam keadaan darurat sejak Mei lalu.
Sejak beberapa minggu lalu, pihak tentera menggalakkan pembentukan kumpulan pengawas untuk membantu pihak berkuasa mencari lokasi dan menangkap anggota-anggota Boko Haram.
Kumpulan-kumpulan itu telah memainkan peranan dalam mengurangkan serangan ganas, tetapi ada juga yang memberi amaran bahawa suasananya boleh menjadi semakin tidak terkawal dan mengakibatkan lebih banyak keganasan.
Kegiatan pemberontakan kumpulan Boko Haram telah menyebabkan sekurang-kurangnya 3,600 orang maut sejak 2009, termasuk anggota pasukan keselamatan, yang didakwa pernah melakukan penyalahgunaan besar.
Pihak tentera pernah mendakwa meraih kejayaan besar dalam serangan mereka ke atas kumpulan tersebut, tetapi dakwaan itu sukar disahkan.
Pihak berkuasa Nigeria telah memotong talian telefonnya di kebanyakan daerah dan laluan masuk ke kawasan terpencil juga agak terhad.
No comments:
Post a Comment